Cara Paling Mudah Buat Ikan Pekasam

Cara Paling Mudah Buat Ikan Pekasam
Alahai bila dah tiba hujung-hujung minggu ni, mulalah selera makan lain macam tu datang. Pekena selera kampung pun sedap juga kan?
Dah nama pun orang Melayu, tekak pun kadang-kadang teringin benar hendak makan hidangan asli orang kampung. Siapa di sini suka makan ikan pekasam? 

Sudahlah isi ikannya lembut dan cukup masin, bahkan kerak beras yang digoreng garing itu enak dan rangupnya apabila digaul dan dikunyah bersama nasi panas. Mmm!

Foto -nucshop.blogspot.com
Foto -nucshop.blogspot.com

Minggu sudah penulis kongsi resepi sambal hitam pahang yang berasaskan ramuan ikan bilis segar serta belimbing asam, jadi kali ini apa kata kita belajar cara-cara untuk buat ikan pekasam dengan cara yang paling mudah pula.

Tunggu apa lagi? Jomlah kita ke dapur!
Ramuan:
  • Ikan: Lazimnya ikan pekasam diperam menggunakan ikan air tawar. Tapi tiada masalah andainya anda hendak menggunakan ikan laut seperti ikan gelama. Ikan mesti dibersihkan 
  • dengan sebersih bersihnya kerana khuatir ia jatuh pada hukum NAJIS. Perut ikan pula mesti dicuci sehingga bersih. Ini untuk mengelakkan ikan dihurung lalat selain menjaga kebersihan makanan kita.

  • Garam: Sekilo Ikan = 100 gram garam.

  • Beras: Disanga terlebih dahulu (goreng tanpa guna minyak). Siap disanga, tumbuk sampai ia menjadi sederhana hancur.

  • Asam keping: Ada orang tidak gemar meletakkan asam jawa atau asam keping kerana kadang-kala beras yang ditabur pada ikan itu sebenarnya pun sudah memasamkan ikan melalui cara penapaian. Terserah pada anda.
Cara: 
  1. Setelah ikan siap dibersihkan, masukkan garam anggaran 1 kilo ikan seratus gm garam. Masuk dalam bekas. tutup bekas tu. Simpan dalam peti ais semalaman.

  2.  Kemudian ambil beras yang sudah disanga dan ditumbuk itu lalu gaulkan dengan ikan yang sudah disimpan tadi. Lagi banyak beras lagi nampak menarik. Sebabnya, nanti bila digoreng, beras inilah yang akan menjadi serbuk pekasam itu. Tinggalkan sedikit beras untuk tuang di atas ikan yang telah siap disusun nanti.

  3.  Cari bekas yang bertutup sangat rapat. Susun ikan tadi ke dalam bekas, setiap susunan ikan tadi letakkan asam keping 1-2 keping.

  4. Masukkan air garam yang telah dimasak di atas api sederhana. Selepas sejuk air garam tu masukkan ke dalam bekas ikan tadi sehingga kesemua ikan tadi terendam.
  5. Tuang beras lebihan yang telah ditumbuk tadi ke dalam bekas ikan.

  6. Akhir sekali tutup bekas dengan rapat. Letak plastik kat bawah penutup tu supaya betul betul ketat. Ikan pekasam boleh dimasak selepas 2-3 minggu.

Catat Ulasan

0 Ulasan